KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyerahkan
memorandum bantahan perjanjian pandemik dan Dasar Digital Negara kepada
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) pada Jumaat.
Peguam mewakili PPIM, Adam Ahmad berkata, persatuan itu mendesak agar
kerajaan tidak memasuki sebarang klausa perjanjian yang boleh menjejaskan hak
rakyat dan kedaulatan negara khususnya dalam aspek kesihatan awam dan hak asasi
manusia.
Menurut beliau, jika Malaysia menandatangani perjanjian pandemik
bersama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) itu, negara dibimbangi akan hilang
keupayaan untuk membuat keputusan sendiri dalam tempoh sekurang-kurangnya tiga
tahun.
“Bidang kuasa Suhakam dalam perkara itu adalah untuk menyiasat dan
menasihati kerajaan. Namun, suruhanjaya tidak mempunyai kuasa untuk
melaksanakan tindakan.
“Sehubungan itu, kami datang menyerahkan memorandum tersebut supaya
Suhakam dapat memainkan peranannya dalam menyuarakan isu ini kepada kerajaan,”
katanya kepada pemberita di lobi Menara TH Perdana di sini pada Jumaat.
Katanya lagi, PPIM turut menuntut agar kerajaan tidak menandatangani
sebarang perjanjian dengan WHO yang berisiko menyekat kebebasan negara membuat
keputusan sewaktu krisis kesihatan akan datang.
“Kami menggesa Suhakam melakukan siasatan dan menasihati kerajaan
supaya tidak memasuki apa-apa klausa perjanjian dengan WHO.
“Jika klausa perjanjian itu dimasuki, kita tidak ada apa-apa pilihan
kecuali terpaksa patuh kepada mereka dalam tempoh tiga tahun akan datang,” ujar
beliau.
Adam berkata, setakat ini, Suhakam memberikan maklum balas positif
terhadap aduan dikemukakan PPIM dan meminta agar surat rasmi dihantar kepada
Mahkamah Tinggi.
Jelasnya, langkah itu penting bagi membolehkan PPIM memohon peguam
pemerhati daripada Suhakam turut serta dalam prosiding berkaitan isu tersebut.
“Kita juga akan tubuhkan satu jawatankuasa khas bagi membawa semua kes
ketidakadilan melibatkan mangsa vaksin untuk perhatian Suhakam,” ujar beliau.
Jelas Adam, isu yang dibangkitkan itu berkait secara langsung dengan
Revolusi Industri Keempat yang melibatkan usaha penghapusan manusia semula jadi
dan integrasi teknologi ke dalam jasad manusia.
Beliau berkata, dalam memorandum itu, mereka turut mencabar tiga
dokumen utama di mahkamah termasuklah Dasar Digital negara, Dasar Reset
Malaysia dan bukti saintifik berkaitan Internet of Bodies (IoB).
Sementara itu, Penasihat PPIM, Datuk Asri Yusoff berkata, kerajaan
dinasihatkan agar kerajaan tidak menandatangani sebarang bentuk perjanjian
pandemik bersama WHO pada 19 Mei depan.
Menurut beliau, rakyat perlu sedar dan bangkit kerana perjanjian itu
bakal menyerahkan kuasa kesihatan negara kepada pihak luar.
Justeru, beliau menggesa rakyat bersatu mempertahankan hak kesihatan
negara dan tidak tunduk kepada tekanan antarabangsa dengan menghalang
perjanjian tersebut ditandatangani.
Asri berkata, sekiranya perjanjian ditandatangani, tiada lagi kuasa
yang boleh melawan badan pengelola kesihatan dunia itu memandangkan mereka
menggunakan aspek kesihatan sebagai senjata.
Artikel oleh: Sinar Harian
