Penganjur desak
Pejabat Peguam Negara dipisahkan dari Jabatan Perdana Menteri dan lebih telus
dalam usaha membasmi rasuah.
PETALING JAYA:
Satu perhimpunan antirasuah akan diadakan pada 28 Jun di Kuala Lumpur bagi
mendesak kerajaan melaksanakan reformasi institusi yang telah lama dijanjikan.
Dianjurkan
Sekretariat Rakyat Benci Rasuah di bawah nama ‘Himpunan Rakyat Benci Rasuah
2.0’, protes itu akan bermula jam 2.30 petang di hadapan kompleks beli-belah
Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman, sebelum bergerak ke Dataran Merdeka.
“Perhimpunan
aman dan tidak berpihak ini menuntut tindakan lebih tegas untuk membersihkan
sistem politik negara,” kata pengarah strategik HARAM, Abishek Prasad, yang
juga ahli gabungan sekretariat itu.
Perhimpunan ini
susulan protes serupa pada Januari lalu. Penganjur berkata tiada kemajuan
bermakna sejak memorandum diserahkan kepada kerajaan pada Februari.
Antara tuntutan
utama mereka termasuklah:
Memisahkan
Jabatan Peguam Negara dari Jabatan Perdana Menteri;
Memberikan
sepenuhnya kebebasan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM);
Menggubal
undang-undang pembiayaan politik; dan
Menyelesaikan
kes kematian Teoh Beng Hock dalam tahanan SPRM pada Julai 2009.
Kumpulan itu
menegaskan himpunan ini terbuka kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira
fahaman politik, dan menyeru kehadiran ramai sebagai isyarat kekecewaan
terhadap kelewatan reformasi.
Mereka turut
menyatakan sokongan terhadap satu lagi perhimpunan berkaitan di Sabah pada 21
dan 22 Jun, serta menggalakkan pelajar dan penduduk tempatan di negeri itu
mendesak kerajaan untuk kebertanggungjawapan.
Awal tahun ini,
sekretariat itu memberi amaran akan mengadakan lebih banyak protes jika
reformasi terus ditangguhkan.
Pada Februari,
setiausaha sekretariat, Zaim Zulkifli, menyerahkan memorandum kepada Ahli
Parlimen Sungai Petani, Taufiq Johari, dengan kehadiran 15 lagi Ahli Parlimen
kerajaan.
Zaim menegaskan sekretariat itu tidak menuduh kerajaan melakukan rasuah, tetapi memberi amaran bahawa kegagalan bertindak boleh membuka ruang kepada amalan tersebut. -FMT-
