KUALA LUMPUR,
26 SEPT : Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyerahkan memorandum
bantahan terhadap World Health Organization Convention Agreement (WHO CA+) dan
pindaan International Health Regulations 2005 (IHR2005) kepada Yang Di-Pertuan
Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara
di sini, hari ini.
PPIM mendakwa
WHO CA+ dan IHR2005 adalah perjanjian antarabangsa yang menjadi ancaman kepada
keselamatan dan kedaulatan negara.
Ketua
Aktivisnya, Nadzim Johan@toqqi berkata PPIM mewakili beberapa badan bukan
kerajaan (NGO) termasuk kumpulan pengamal perubatan kesihatan dan beberapa
peguam turut mengutuskan surat terbuka kepada Al-Sultan Abdullah.
“Surat ini
merupakan memorandum rakyat membantah Pandemik Triti WHO CA+ dan Pindaan
IHR2005. Tempoh masa penolakan (rejection period) adalah sehingga 1 Disember
2023,” katanya.
Menurut Nadzim,
antara ancaman-ancaman yang dikenalpasti adalah perjanjian tersebut mengubah
definisi ‘standing recommendation’ dan ‘temporary recommendation’ daripada ‘non
binding’ kepada ‘binding’.
“Perjanjian itu
juga akan menambah skop kuasa WHO dalam situasi yang bukan hanya melibatkan
risiko kesihatan awam malah, ia memansuhkan perkataan ‘with full respect for
the dignity, human rights and fundamental freedom of person’, yang menjadi asas
kepada Hak Asasi Manusia,” katanya.
Tambah beliau,
Pengarah WHO turut diberikan kuasa mengisytiharkan Public Health Emergency of
International Concern (PHEIC) termasuk yang berpotensi menjadi PHEIC tanpa
input bebas daripada pakar kesihatan awam dari State Party atau pakar perubatan
profesional.
“Pindaan
IHR2005 boleh mengambil alih kuasa dan fungsi Yang Di-Pertuan Agong dalam
pengisytiharan darurat terutamanya Artikel 150 [2A] Perlembagaan Persekutuan
termasuk berpotensi mengambil alih atau melucutkan serta mengurangkan kuasa dan
budi bicara Yang Di-Pertuan Agong sebagai ketua utama Negara dalam menjaga
kedaulatan negara Malaysia.
Pindaan IHR2005
ini jika tidak dibantah merupakan perlanggaran kepada Perlembagaan Negara
meliputi Hak Asasi Kebebasan Rakyat, Kedaulatan Negara, Kedaulatan Raja-Raja
Melayu serta Yang Di-Pertuan Agong akan terancam,” katanya.
Nadzim menegaskan demi menyelamatkan kedaulatan negara, Malaysia wajib
menolak pindaan IHR2005 dan keluar dari WHO.
